Tuesday, December 18, 2012

Pengenalan Program Pemulihan Khas

PENGENALAN PROGRAM PEMULIHAN KHAS

Program Pemulihan Khas telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) semenjak tahun 1960an bagi membantu murid-murid di sekolah rendah yang menghadapi masalah khusus dalam pembelajaran iaitu menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira ( 3M ). Pada tahun 1983, sistem pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Kurikulum baru ini merupakan satu usaha untuk kembali semula kepada asas pendidikan dengan memberi fokus kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M). Murid-murid yang tidak menguasai 3M dibantu melalui aktiviti pemulihan dalam kelas.

Fokus ke arah membasmi masalah 3M ini turut termaktub di dalam Teras Ketiga : Memperkasakan Sekolah Kebangsaan dan Teras Keempat : Merapatkan Jurang Pendidikan; dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006–2010. Melalui kedua-dua teras ini, beberapa pelan tindakan dirancang untuk memastikan murid-murid menguasai kemahiran asas 3M pada tahap 1. Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkasakan Program Pemulihan Khas dengan menaik taraf kelas pemulihan khas dan menyediakan Guru Pemulihan terlatih yang mencukupi termasuk di Sekolah Kurang Murid (SKM).

Melalui Transformasi Pendidikan, Program Literasi dan Numerasi (LINUS) telah diperkenalkan pada bulan Ogos 2009. Program LINUS adalah sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan dalam Program Transformasi Kerajaan merupakan satu kesinambungan daripada program yang sedia ada bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas 3M dengan lebih sistematik. Pelaksanaan program LINUS mensasarkan 100% murid tahun 3 menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum ke tahun 4 mulai tahun 2013 kecuali murid berkeperluan khas.

Dipetik dari GARIS PANDUAN PELAKSANAAN PROGRAM PEMULIHAN KHAS 2012, BAHAGIAN PENDIDIKAN KHAS, KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment